Catatan Popular

Isnin, 13 Februari 2012

SYARAH NO 1 KITAB AL HIKAM ATA'ILLAH : PERBUATAN BERGANTUNG PADA AMAL

SEBAHAGIAN DARIPADA TANDA BERSANDAR KEPADA AMAL (PERBUATAN ZAHIR) ADALAH BERKURANGAN HARAPANNYA (SUASANA HATI) TATKALA BERLAKU PADANYA KESALAHAN.

SYARAH VERSI TO'FAKIR AN NASIRIN
Imam Ibnu Athaillah memulakan Kalam Hikmat beliau dengan mengajak kita merenung kepada hakikat amal. Amal boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu perbuatan zahir dan perbuatan hati atau suasana hati berhubung dengan perbuatan zahir itu. Beberapa orang boleh melakukan perbuatan zahir yang serupa tetapi suasana hati berhubung dengan perbuatan zahir itu tidak serupa. Kesan amalan zahir kepada hati berbeza antara seorang dengan seorang yang lain. Jika amalan zahir itu mempengaruhi suasana hati, maka hati itu dikatakan bersandar kepada amalan zahir. Jika hati dipengaruhi juga oleh amalan hati, maka hati itu dikatakan bersandar juga kepada amal, sekalipun ianya amalan batin. Hati yang bebas daripada bersandar kepada amal sama ada amal zahir atau amal batin adalah hati yang menghadap kepada Allah s.w.t dan meletakkan pergantungan kepada-Nya tanpa membawa sebarang amal, zahir atau batin, serta menyerah sepenuhnya kepada Allah s.w.t tanpa sebarang takwil atau tuntutan.

Hati yang demikian tidak menjadikan amalnya, zahir dan batin, walau berapa banyak sekalipun, sebagai alat untuk tawar menawar dengan Tuhan bagi mendapatkan sesuatu. Amalan tidak menjadi perantaraan di antaranya dengan Tuhannya. Orang yang seperti ini tidak membataskan kekuasaan dan kemurahan Tuhan untuk tunduk kepada perbuatan manusia. Allah s.w.t Yang Maha Berdiri Dengan Sendiri berbuat sesuatu menurut kehendak-Nya tanpa dipengaruhi oleh sesiapa dan sesuatu. Apa sahaja yang mengenai Allah s.w.t adalah mutlak, tiada had, sempadan dan perbatasan. Oleh kerana itu orang arif tidak menjadikan amalan sebagai sempadan yang mengongkong ketuhanan Allah s.w.t atau ‘memaksa’ Allah s.w.t berbuat sesuatu menurut perbuatan makhluk. Perbuatan Allah s.w.t berada di hadapan dan perbuatan makhluk di belakang. Tidak pernah terjadi Allah s.w.t mengikuti perkataan dan perbuatan seseorang atau sesuatu.Sebelum menjadi seorang yang arif, hati manusia memang berhubung rapat dengan amalan dirinya, baik yang zahir mahu pun yang batin. Manusia yang kuat bersandar kepada amalan zahir adalah mereka yang mencari faedah keduniaan dan mereka yang kuat bersandar kepada amalan batin adalah yang mencari faedah akhirat. Kedua-dua jenis manusia tersebut berkepercayaan bahawa amalannya menentukan apa yang mereka akan perolehi baik di dunia dan juga di akhirat.

Kepercayaan yang demikian kadang-kadang membuat manusia hilang atau kurang pergantungan dengan Tuhan. Pergantungan mereka hanyalah kepada amalan semata-mata ataupun jika mereka bergantung kepada Allah s.w.t, pergantungan itu bercampur dengan keraguan. Seseorang manusia boleh memeriksa diri sendiri apakah kuat atau lemah pergantungannya kepada Allah s.w.t. Kalam Hikmat 1 yang dikeluarkan oleh Ibnu Athaillah memberi petunjuk mengenainya. Lihatlah kepada hati apabila kita terperosok ke dalam perbuatan maksiat atau dosa. Jika kesalahan yang demikian membuat kita berputus asa daripada rahmat dan pertolongan Allah s.w.t itu tandanya pergantungan kita kepada-Nya sangat lemah. Firman-Nya:

“Wahai anak-anakku! Pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusuf dan saudaranya (Bunyamin), dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah melainkan kaum yang kafir ”. ( Ayat 87 : Surah Yusuf )

Ayat di atas menceritakan bahawa orang yang beriman kepada Allah s.w.t meletakkan pergantungan kepada-Nya walau dalam keadaan bagaimana sekali pun. Pergantungan kepada Allah s.w.t membuat hati tidak berputus asa dalam menghadapi dugaan hidup. Kadang-kadang apa yang diingini, dirancangkan dan diusahakan tidak mendatangkan hasil yang diharapkan. Kegagalan mendapatkan sesuatu yang diingini bukan bermakna tidak menerima pemberian Allah s.w.t. Selagi seseorang itu beriman dan bergantung kepada-Nya selagi itulah Dia melimpahkan rahmat-Nya. Kegagalan memperolehi apa yang dihajatkan bukan bermakna tidak mendapat rahmat Allah s.w.t. Apa juga yang Allah s.w.t lakukan kepada orang yang beriman pasti terdapat rahmat-Nya, walaupun dalam soal tidak menyampaikan hajatnya. Keyakinan terhadap yang demikian menjadikan orang yang beriman tabah menghadapi ujian hidup, tidak sekali-kali berputus asa. Mereka yakin bahawa apabila mereka sandarkan segala perkara kepada Allah s.w.t, maka apa juga amal kebaikan yang mereka lakukan tidak akan menjadi sia-sia.

Orang yang tidak beriman kepada Allah s.w.t berada dalam situasi yang berbeza. Pergantungan mereka hanya tertuju kepada amalan mereka, yang terkandung di dalamnya ilmu dan usaha. Apabila mereka mengadakan sesuatu usaha berdasarkan kebolehan dan pengetahuan yang mereka ada, mereka mengharapkan akan mendapat hasil yang setimpal. Jika ilmu dan usaha (termasuklah pertolongan orang lain) gagal mendatangkan hasil, mereka tidak mempunyai tempat bersandar lagi. Jadilah mereka orang yang berputus asa. Mereka tidak dapat melihat hikmat kebijaksanaan Allah s.w.t mengatur perjalanan takdir dan mereka tidak mendapat rahmat dari-Nya.

Jika orang kafir tidak bersandar kepada Allah s.w.t dan mudah berputus asa, di kalangan sebahagian orang Islam juga ada yang demikian, bergantung setakat mana sifatnya menyerupai sifat orang kafir. Orang yang seperti ini melakukan amalan kerana kepentingan diri sendiri, bukan kerana Allah s.w.t. Orang ini mungkin mengharapkan dengan amalannya itu dia dapat mengecapi kemakmuran hidup di dunia.Dia mengharapkan semoga amal kebajikan yang dilakukannya dapat mengeluarkan hasil dalam bentuk bertambah rezekinya, kedudukannya atau pangkatnya, orang lain semakin menghormatinya dan dia juga dihindarkan daripada bala penyakit, kemiskinan dan sebagainya. Bertambah banyak amal kebaikan yang dilakukannya bertambah besarlah harapan dan keyakinannya tentang kesejahteraan hidupnya.

Sebahagian kaum muslimin yang lain mengaitkan amal kebaikan dengan kemuliaan hidup di akhirat. Mereka memandang amal salih sebagai tiket untuk memasuki syurga, juga bagi menjauhkan azab api neraka. Kerohanian orang yang bersandar kepada amal sangat lemah, terutamanya mereka yang mencari keuntungan keduniaan dengan amal mereka. Mereka tidak tahan menempuh ujian. Mereka mengharapkan perjalanan hidup mereka sentiasa selesa dan segala-segalanya berjalan menurut apa yang dirancangkan. Apabila sesuatu itu berlaku di luar jangkaan, mereka cepat naik panik dan gelisah. Bala bencana membuat mereka merasakan yang merekalah manusia yang paling malang di atas muka bumi ini. Bila berjaya memperoleh sesuatu kebaikan, mereka merasakan kejayaan itu disebabkan kepandaian dan kebolehan mereka sendiri. Mereka mudah menjadi ego serta suka menyombong.

Apabila rohani seseorang bertambah teguh dia melihat amal itu sebagai jalan untuknya mendekatkan diri dengan Tuhan. Hatinya tidak lagi cenderung kepada faedah duniawi dan ukhrawi tetapi dia berharap untuk mendapatkan kurniaan Allah s.w.t seperti terbuka hijab-hijab yang menutupi hatinya. Orang ini merasakan amalnya yang membawanya kepada Tuhan. Dia sering mengaitkan pencapaiannya dalam bidang kerohanian dengan amal yang banyak dilakukannya seperti berzikir, bersembahyang sunat, berpuasa dan lain-lain. Bila dia tertinggal melakukan sesuatu amal yang biasa dilakukannya atau bila dia tergelincir melakukan kesalahan maka dia berasa dijauhkan oleh Tuhan. Inilah orang yang pada peringkat permulaan mendekatkan dirinya dengan Tuhan melalui amalan tarekat tasauf.

Jadi, ada golongan yang bersandar kepada amal semata-mata dan ada pula golongan yang bersandar kepada Tuhan melalui amal. Kedua-dua golongan tersebut berpegang kepada keberkesanan amal dalam mendapatkan sesuatu. Golongan pertama kuat berpegang kepada amal zahir, iaitu perbuatan zahir yang dinamakan usaha atau ikhtiar. Jika mereka tersalah memilih ikhtiar, hilanglah harapan mereka untuk mendapatkan apa yang mereka hajatkan. Ahli tarekat yang masih diperingkat permulaan pula kuat bersandar kepada amalan batin seperti sembahyang dan berzikir. Jika mereka tertinggal melakukan sesuatu amalan yang biasa mereka lakukan, akan berkurangan harapan mereka untuk mendapatkan anugerah dari Allah s.w.t. Sekiranya mereka tergelincir melakukan dosa, akan putuslah harapan mereka untuk mendapatkan anugerah Allah s.w.t.

Dalam perkara bersandar kepada amal ini, termasuklah juga bersandar kepada ilmu, sama ada ilmu zahir atau ilmu batin. Ilmu zahir adalah ilmu pentadbiran dan pengurusan sesuatu perkara menurut kekuatan akal. Ilmu batin pula adalah ilmu yang menggunakan kekuatan dalaman bagi menyampaikan hajat. Ia termasuklah penggunaan ayat-ayat al-Quran dan jampi. Kebanyakan orang meletakkan keberkesanan kepada ayat, jampi dan usaha, hinggakan mereka lupa kepada Allah s.w.t yang meletakkan keberkesanan kepada tiap sesuatu itu.

Seterusnya, sekiranya Tuhan izinkan, kerohanian seseorang meningkat kepada makam yang lebih tinggi. Nyata di dalam hatinya maksud kalimat:


Tiada daya dan upaya kecuali beserta Allah.



“Padahal Allah yang mencipta kamu dan benda-benda yang kamu perbuat itu!” 
(Ayat 96 : Surah as-Saaffaat )

Orang yang di dalam makam ini tidak lagi melihat kepada amalnya, walaupun banyak amal yang dilakukannya namun, hatinya tetap melihat bahawa semua amalan tersebut adalah kurniaan Allah s.w.t kepadanya. Jika tidak kerana taufik dan hidayat dari Allah s.w.t tentu tidak ada amal kebaikan yang dapat dilakukannya. Allah s.w.t berfirman:


“Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberian-Nya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi masalah kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah”.
( Ayat 40 : Surah an-Naml )

Dan tiadalah kamu berkemahuan (melakukan sesuatu perkara) melainkan dengan cara yang dikehendaki Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana (mengaturkan sebarang perkara yang dikehendaki-Nya). Ia memasukkan sesiapa yang kehendaki-Nya (menurut aturan yang ditetapkan) ke dalam rahmat-Nya (dengan ditempatkan-Nya di dalam syurga); dan orang-orang yang zalim, Ia menyediakan untuk mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya. ( Ayat 30 & 31 : Surah al-Insaan )

Segala-galanya adalah kurniaan Allah s.w.t dan menjadi milik-Nya. Orang ini melihat kepada takdir yang Allah s.w.t tentukan, tidak terlihat olehnya keberkesanan perbuatan makhluk termasuklah perbuatan dirinya sendiri. Makam ini dinamakan makam ariffin iaitu orang yang mengenal Allah s.w.t. Golongan ini tidak lagi bersandar kepada amal namun, merekalah yang paling kuat mengerjakan amal ibadat.

Orang yang masuk ke dalam lautan takdir, reda dengan segala yang ditentukan Allah s.w.t, akan sentiasa tenang, tidak berdukacita bila kehilangan atau ketiadaan sesuatu. Mereka tidak melihat makhluk sebagai penyebab atau pengeluar kesan.

Di awal perjalanan menuju Allah s.w.t, seseorang itu kuat beramal menurut tuntutan syariat. Dia melihat amalan itu sebagai kenderaan yang boleh membawanya hampir dengan Allah s.w.t. Semakin kuat dia beramal semakin besarlah harapannya untuk berjaya dalam perjalanannya. Apabila dia mencapai satu tahap, pandangan mata hatinya terhadap amal mula berubah. Dia tidak lagi melihat amalan sebagai alat atau penyebab. Pandangannya beralih kepada kurniaan Allah s.w.t. Dia melihat semua amalannya adalah kurniaan Allah s.w.t kepadanya dan kehampirannya dengan Allah s.w.t juga kurniaan-Nya. Seterusnya terbuka hijab yang menutupi dirinya dan dia mengenali dirinya dan mengenali Tuhannya. Dia melihat dirinya sangat lemah, hina, jahil, serba kekurangan dan faqir. Tuhan adalah Maha Kaya, Berkuasa, Mulia, Bijaksana dan Sempurna dalam segala segi. Bila dia sudah mengenali dirinya dan Tuhannya, pandangan mata hatinya tertuju kepada Kudrat dan Iradat Allah s.w.t yang menerajui segala sesuatu dalam alam maya ini. Jadilah dia seorang arif yang sentiasa memandang kepada Allah s.w.t, berserah diri kepada-Nya, bergantung dan berhajat kepada-Nya. Dia hanyalah hamba Allah s.w.t yang faqir.

ALAM KABIR DAN ALAM SAGHIR (DALAM TAREKAT NAQSHABANDIYYAH)

MANUSIA merupakan biasan dalam bentuk kecil bagi kejadian Alam Maya Semesta Raya [Kosmos] ini atau disebutkan sebagai Alam Kabir [Makrokosmos] yang bermakna alam besar. Sebagai biasan, manusia adalah Alam Saghir [Mikrokosmos] yang bermakna alam kecil. Segala apa yang wujud di alam yang kecil juga adalah wujud di alam yang besar. Namun demikian, setiap apa yang ada di alam besar tidak kesemuanya berada di alam kecil. Menerusi alam kecil, dapat dilihat apa yang ada di alam besar sana.
Walaubagaimanapun, tidak semua manusia yang dapat melihat alam besar menerusi alam kecil dirinya. Di dalam diri manusia itu mengandungi suatu daya tenaga yang jika ianya dibuka maka akan membolehkannya melihat Alam Maya Semesta Raya kerana dia merupakan Alam Saghir dan menjadi cermin kepada Alam Kabir di dalam dirinya.
Pada dasarnya, Alam Kabir ini adalah terlalu besar dan luas sehingga tiada siapa pun yang dapat menyatakan betapa besarkah kadar keluasannya. Para Masyaikh mentafsirkannya sebagai Daerah Imkan yang bererti suatu daerah keluasan yang mungkin baginya. Daerah Imkan Alam Kabir ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu Alam Amar dan Alam Khalaq. Perbandingan antara kedua-dua Alam Kabir dan Alam Saghir dapat dilihat dalam Rajah 2, yang mana di Alam Kabir, ‘Arash Mu’alla menjadi sebagai pengantara manakala di Alam Saghir pula, Hati menjadi sebagai pengantara.
Kerana itulah ada mafhum sebuah Hadits yang menyatakan bahawa, “Allah Ta’ala itu berada dalam hati orang-orang beriman.”
Menurut Para Masyaikh Naqshbandiyah, hati manusia adalah merupakan biasan kepada Hati Ruhaniah Hakikat Muhammadiyah. Hati Ruhaniah ini mempamerkan Lautan Kekuasaan atau disebutkan sebagai Bahrul Qudrah, yang merupakan tempat asal usul segala ciptaan. Lautan Kekuasaan Bahrul Qudrah ini berada di Alam Kabir dalam Alam Maya Semesta Raya. Daerah Imkan.
Barangsiapa yang mampu mencapai pengetahuan tentang hati akan berkemampuan untuk memahami kebenaran Hakikat Kenabian Nur Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.
Hakikat Nur Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam berada di dalam Lautan Kekuasaan Bahrul Qudrah ini. Hati yang banyak berzikir akan menghasilkan limpahan Faidhz dan ianya akan turut mengalir di dalam saluran darah di dalam tubuh badan dan mengisikan tubuh badan dengan limpahan Faidhz tersebut.
Menurut Hadhrat Mujaddid Alf Tsani Syeikh Ahmad Faruqi Sarhindi Rahmatullah ‘alaih, apabila kelima-lima lataif Alam Amar telah disucikan dengan
sempurna, lataif Alam Khalaq juga dengan sendirinya akan disucikan, kemudian dia akan memahami hakikat Daerah Imkan. Untuk mencapai maqam ini, seseorang itu perlulah mancapai Fana Fi Syeikh. Ini akan mengangkat hijabnya terhadap kefahaman tentang Daerah Imkan.
Kebanyakan Salik berhenti pada tahap ini dengan memikirkan bahawa mereka telah pun sampai ke destinasi tujuan mereka sedangkan mereka sepatutnya terus bergerak melewati bulatan Daerah Imkan dengan meneroka Alam Amar dan seterusnya menempuh Wilayat Sughra, Wilayat Kubra dan Wilayat ‘Ulya.
Seseorang Murid tidak akan sama sekali dapat menempuh Wilayat-Wilayat ini tanpa bimbingaan Syeikh dan Para Masyaikh. Untuk ini seseorang Salik itu perlu mencapai Fana Fi Rasul. Kemudian barulah dirinya akan dapat merasakan pencapaian Fana Fillah.
Untuk memahami hubung kaitan antara Alam Kabir dan Alam Saghir, Daerah Imkan dan Lautan Kekuasaan Bahrul Qudrah, perhatikan kepada Rajah 2 yang berikut:

Alam Kabir [Alam Besar – Makrokosmos]
Alam Amar [Alam Kekal]
Qalb - Alam Malakut [Malaikat]
Ruh - Alam Jabarut
[Roh]
Sir - Alam Lahut
[Bayangan Sifat Allah]
Khafi - Alam Bahut
[Sifat-Sifat Allah]
Akhfa - Alam Hahut
[Zat Allah]
‘Arasy Mu’alla

Alam Khalaq [Alam Tidak Kekal]
Nafs
Angin
Api
Air
Tanah

Alam Saghir [Alam Kecil – Mikrokosmos]
Ruhani
Siddiqin
Kewalian
Kenabian
Ulul ‘Azmi
Ahmad
Hati
Jasmani
Merasa
Menghidu
Menyentuh
Melihat
Mendengar

Yang Menciptakan langit-langit dan bumi, dan bila Dia bekehendak untuk menciptakan sesuatu urusan (Amar), maka Dia hanya katakan kepadanya: Jadilah! Lalu jadilah ia. Allah juga berfirman menerusi Surah Ali Imran pada hujung ayat ke 47 yang bermaksud,

TAMBAHAN SHAH BAHAUDDIN NAQSHBAND

HADHRAT Shah Bahauddin Naqshband Rahmatullah ‘alaih merupakan Imam bagi Tariqat Naqshbandiyah dan seorang Mahaguru Tariqat yang terkemuka. Beliau telah mengukuhkan lagi jalan ini dengan tiga prinsip penting dalam Zikir Khafi sebagai tambahan kepada lapan prinsip asas yang telah dikemukakan oleh Hadhrat Khwajah Khwajahgan Syeikh ‘Abdul Khaliq Al-Ghujduwani Rahmatullah ‘alaih iaitu:


1. WUQUF QALBI


Mengarahkan penumpuan terhadap hati dan hati pula mengarahkan penumpuan terhadap Allah Subhanahu Wa Ta’ala pada setiap masa dan keadaan. Sama ada dalam keadaan berdiri, berbaring, berjalan mahupun duduk. Hendaklah bertawajjuh kepada hati dan hati pula tetap bertawajjuh ke Hadhrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Wuquf Qalbi merupakan syarat bagi zikir.
Kedudukan Qalbi ini adalah pada kedudukan dua jari di bawah tetek kiri dan kedudukan ini hendaklah sentiasa diberikan penumpuan dan Tawajjuh. Bayangan limpahan Nur dari Allah hendaklah sentiasa kelihatan melimpah pada Qalbi dalam pandangan batin.
Ini merupakan suatu kaedah Zikir Khafi yakni suatu bentuk zikir yang tersembunyi dan tidak diketahui oleh Para Malaikat. Ia merupakan suatu kaedah zikir yang rahsia.


2. WUQUF ‘ADADI


Sentiasa memerhatikan bilangan ganjil ketika melakukan zikir Nafi Itsbat. Zikir Nafi Itsbat ialah lafaz LA ILAHA ILLA ALLAH dan dilakukan di dalam hati menurut kaifiyatnya. Dalam melakukan zikir Nafi Itsbat ini, Salik hendaklah sentiasa mengawasi bilangan zikir Nafi Itsbatnya itu dengan memastikannya dalam jumlah bilangan yang ganjil iaitu 7 atau 9 atau 19 atau 21 atau 23 atau sebarang bilangan yang ganjil.
Menurut Para Masyaikh, bilangan ganjil mempunyai rahsia yang tertentu kerana Allah adalah Ganjil dan menyukai bilangan yang ganjil dan ianya akan menghasilkan ilmu tentang Rahsia Allah Ta’ala. Menurut Hadhrat Shah Naqshband Rahmatullah ‘alaih,
“Memelihara bilangan di dalam zikir adalah langkah pertama dalam menghasilkan Ilmu Laduni.”
Memelihara bilangan bukanlah untuk jumlahnya semata-mata bahkan ianya untuk memelihara hati dari ingatan selain Allah dan sebagai asbab untuk memberikan lebih penumpuan dalam usahanya untuk menyempurnakan zikir yang telah diberikan oleh Guru Murshidnya.


3. WUQUF ZAMANI



Setiap kali selepas menunaikan Solat, hendaklah bertawajjuh kepada hati dan sentiasa memastikan hati dalam keadaan bertawajjuh kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Lakukan selama beberapa minit sebelum bangkit dari tempat Solat. Kemudian setelah selang beberapa jam hendaklah menyemak semula keadaan hati bagi memastikannya sentiasa dalam keadaan mengingati Allah Subhanahu Wa Ta’ala.
Apabila seseorang Murid itu telah naik ke peringkat menengah dalam bidang Keruhanian maka dia hendaklah selalu memeriksa keadaan hatinya sekali pada tiap- tiap satu jam untuk mengetahui sama ada dia ingat ataupun lalai kepada Allah dalam masa-masa tersebut. Jika dia lalai maka hendaklah dia beristighfar dan berazam untuk menghapuskan kelalaian itu pada masa akan datang sehinggalah dia mencapai peringkat Dawam Hudhur atau Dawam Agahi iaitu peringkat hati yang sentiasa hadir dan sedar ke Hadhrat ZatNya.
  
Ketiga-tiga prinsip ini adalah tambahan dari Hadhrat Shah Bahauddin Naqshband Rahmatullah ‘alaih dalam membimbing sekelian para murid dan pengikutnya dan terus menjadi amalan yang tetap dalam Tariqat Naqshbandiyah.

Ahad, 5 Februari 2012

DAERAH IMKAN, ALAM AMAR, ALAM KHALAQ (DALAM TAREKAT NAQSHABANDIYYAH)

Oleh Hadhrat Faqir Maulawi Jalalludin Ahmad Ar-Rowi

DAERAH IMKAN

Seluruh Alam Maya Semesta Raya ini berada dalam Daerah Imkan. Daerah Imkan atau Daerah Mumkinat adalah daerah keluasan Alam Kabir dan iannya terbahagi kepada dua bahagian, atas dan bawah yang meliputi Alam Amar dan Alam Khalaq. Separuh bahagian bawahnya adalah bermula dari ‘Arash sehinggalah ke bawah tanah dan separuh bahagian atasnya adalah bermula dari atas ‘Arash sehinggalah seatas-atasnya.

Alam Amar adalah pada separuh bahagian atas Daerah Imkan manakala Alam Khalaq pula adalah pada separuh bahagian bawah Daerah Imkan (Rajah 2). Pada tubuh setiap insan terdapat hubung kaitan dengan Daerah Imkan yang terdiri dari Alam Amar dan Alam Khalaq iaitu pada tubuh Rohani dan Jasmani.

Alam semesta jika dilihat menerusi pandangan batin mata hati, tampil dalam bentul suatu bulatan. Bulatan ini dinamakan sebagai Daerah Imkan atau Daerah Mumkinat atau daerah yang mungkin dan daerah ini dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Alam Amar dan Alam Khalaq. Di tengah-tengah bulatan itu terdapat satu garis melintang yang membahagikan bulatan itu kepada satu bahagian berada di atas dan satu bahagian lagi berada di bawah. Garisan di tengah itu merupakan ‘Arash Mu’alla yang merupakan pembahagi kepada Alam Amar dan Alam Khalaq.


‘ARASH
ALAM AMAR
ALAM KHALAQ
Ruh
Khafi
Qalb
Sir
Akhfa
Nafs
Angin
Air
Tanah
Api

Menurut Hadhrat Mujaddid Alf Tsani Syeikh Ahmad Faruqi Sarhindi Rahmatullah ‘alaih manusia adalah alam kecil. Apabila Allah menjadikan manusia, Dia menggunakan kuasaNya untuk menempatkan latifah-latifah Alam Amar ini ke dalam dada manusia dan menjadikannya asyik dengan takluk tubuh badan. Ini adalah kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala ingin menjadikan manusia itu sempurna dan dilengkapkanNya dengan Alam Amar dan Alam Khalaq. Dengan cara ini manusia itu disebutkan sebagai Alam Saghir.

Manusia merupakan biasan dalam bentuk kecil bagi kejadian Alam Maya Semesta Raya [Kosmos] ini atau disebutkan sebagai Alam Kabir [Makrokosmos] yang bermakna alam besar. Sebagai biasan, manusia adalah Alam Saghir [Mikrokosmos] yang bermakna alam kecil. Segala apa yang wujud di alam yang kecil juga adalah wujud di alam yang besar. Namun demikian, setiap apa yang ada di alam besar tidak kesemuanya berada di alam kecil.

Menerusi alam kecil, dapat dilihat apa yang ada di alam besar sana. Walaubagaimanapun, tidak semua manusia yang dapat melihat alam besar menerusi alam kecil dirinya. Di dalam diri manusia itu mengandungi suatu daya tenaga yang jika ianya dibuka maka akan membolehkannya melihat Alam Maya Semesta Raya kerana dia merupakan Alam Saghir dan menjadi cermin kepada Alam Kabir di dalam dirinya.

Pada dasarnya, Alam Kabir ini adalah terlalu besar dan luas sehingga tiada siapa pun yang dapat menyatakan betapa keluasannya. Para Masyaikh mentafsirkannya sebagai Daerah Imkan yang bererti daerah keluasan yang mungkin baginya. Daerah Imkan Alam Kabir ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu Alam Amar dan Alam Khalaq.

Perbandingan antara kedua-dua Alam Kabir dan Alam Saghir dapat dilihat dalam Rajah 3, yang mana di Alam Kabir, ‘Arasy Mu’alla menjadi sebagai pengantara manakala di Alam Saghir pula, Hati menjadi sebagai pengatara. Kerana itulah kepercayaan umum wujud bahawa “Allah Ta’ala itu berada dalam hati orang-orang yang benar-benar beriman.”

Menurut para Masyaikh Naqshbandiyah Haqqaniyah, hati manusia adalah merupakan biasan kepada Hati Rohaniah Hakikat Kenabian. Hati rohaniah ini mempamerkan Lautan Kekuasaan atau disebutkan sebagai Bahrul Qudrah, yang merupakan tempat asal usul segala ciptaan.

Lautan Kekuasaan Bahrul Qudrah ini berada di Alam Kabir dalam Alam Maya Semesta Raya. Daerah Imkan. Barangsiapa yang mampu mencapai pengetahuan tentang hati akan berkemampuan untuk memahami kebenaran Hakikat Kenabian Nur Muhammad s.a.w. Nur Muhammad s.a.w berada di dalam Lautan Kekuasaan Bahrul Qudrah ini.

Hati yang banyak berzikir akan menghasilkan limpahan faidhz dan ianya akan turut mengalir di dalam saluran darah di dalam tubuh badan dan mengisikan tubuh badan dengan limpahan faidhz tersebut. Menurut Hadhrat Mujaddid Alf Tsani Syeikh Ahmad Faruqi Sarhindi Rahmatullah ‘alaih, apabila kelima-lima lataif Alam Amar telah disucikan dengan sempurna, lataif Alam Khalaq juga dengan sendirinya akan disucikan, kemudian dia akan memahami hakikat Daerah Imkan.

Untuk mencapai maqam ini, seseorang itu perlulah mancapai Fana Fi Syeikh. Ini akan mengangkat hijabnya terhadap kefahaman tentang Daerah Imkan. Kebanyakan Salik berhenti pada tahap ini dengan memikirkan bahawa mereka telah pun sampai ke destinasi tujuan mereka sedangkan mereka sepatutnya terus bergerak melewati bulatan Daerah Imkan dengan meneroka Alam Amar. Untuk ini seseorang Salik itu perlu mencapai Fana Fi Rasul. Kemudian barulah dirinya akan dapat merasakan pencapaian Fana Fillah.

Untuk memahami Alam Kabir, Alam Saghir, Daerah Imkan dan Bahrul Qudrah, perhatikan kepada Rajah 3 yang berikut.


Alam Maya Semesta Raya [ Kosmos ]

Alam Kabir [ Alam Besar – Makrokosmos ]

Alam Amar [ Alam Kekal ]

Qalb - Alam Malakut [ Malaikat ]
Ruh - Alam Jabarut [ Roh ]
Sir - Alam Lahut [ Bayangan Sifat-Sifat Allah ]
Khafi - Alam Bahut [ Sifat-Sifat Allah ]
Akhfa - Alam Hahut [ Zat Allah ]

‘Arasy Mu’alla

Alam Khalaq [ Alam Tidak Kekal ]

Nafs
Angin
Api
Air
Tanah

Alam Saghir [ Alam Kecil – Mikrokosmos ]

Rohani

Siddiqin
Kewalian
Kenabian
Ulul Azmi
Ahmad
Hati

Jasmani

Merasa
Menghidu
Menyentuh
Melihat
Mendengar

Alam Maya Semesta Raya [ Kosmos ]

ALAM AMAR

Alam Amar adalah suatu alam kekal yang mana hanya dengan perintah ‘Kun’ yang bermakna ‘Jadilah’ maka ianya akan terjadi. Ini merujuk kepada saat penciptaan langit dan bumi yang mana Allah Ta’ala menciptakannya dengan perintah ‘Kun’ ini.
Alam Amar ini berada di luar batas masa dan ruang tempat. Alam Amar berada di dalam Daerah Imkan pada kedudukan di atas ‘Arash. Alam Amar mengandungi Qalb, Ruh, Sir, Khafi dan Akhfa.

Alam Amar adalah alam di mana tersembunyinya segala rahsia hakikat ketuhanan. Di sana tersembunyinya segala bayangan kebenaran yang berkaitan dengan Zat dan Sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala. Secara ringkasnya Alam Amar adalah merujuk kepada tubuh Rohani manusia. Kedudukannya pada badan manusia adalah di bahagian dada seperti yang dijelaskan dalam Lima Lataif Alam Amar.

Menurut Imam Razi Rahmatullah ‘alaih, Ruh manusia berasal dari Alam Amar manakala jasad manusia adalah berasal dari Alam Khalaq. Menurut Imam Ghazali Rahmatullah ‘alaih, kewujudan Alam Amar adalah di luar batas pencapaian, menerusi pengalaman dan khayalan. Ianya tidak mempunyai sempadan dan tidak dapat disukat dengan masa dan ruang.

Menurut Hadhrat Imam Rabbani Rahmatullah ‘alaih, terdapat lima alam di dalam Alam Amar yang merupakan asal usul kesemua lataif. Latifah Qalb berasal dari Alam Malakut, latifah Ruh berasal dari Alam Arwah atau Jabarut, latifah Sir berasal dari Alam Lahut, latifah Khafi berasal dari Alam Bahut dan latifah Akhfa berasal dari Alam Hahut.

Alam Malakut adalah Alam Para Malaikat dan berada dalam wilayah Hadhrat Nabi Adam ‘Alaihissalam dan cahaya nurnya adalah kuning. Alam Arwah atau Jabarut adalah Alam Para Roh dan berada dalam wilayah Hadhrat Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam dan cahaya nurnya adalah merah. Alam Lahut adalah Alam Bayangan Sifat-Sifat Allah dan berada dalam wilayah Hadhrat Nabi Musa ‘Alaihissalam dan cahaya nurnya putih berkilau. Alam Bahut adalah Alam Sifat-Sifat Allah dan merupakan alam yang tersembunyi dan berada dalam wilayah Hadhrat Nabi Isa ‘Alaihissalam dan cahaya nurnya adalah hitam. Alam Hahut pula adalah Alam Hadhrat Zat Yang Suci dan merupakan alam yang lebih tersembunyi. Cahaya nurnya adalah hijau dan alam ini berada dalam wilayah Hadhrat Baginda Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam.

Latifah Qalb
Latifah Ruh
Latifah Sir
Latifah Khafi
Latifah Akhfa
Alam Malakut
Alam Jabarut
Alam Lahut
Alam Bahut
Alam Hahut
Adam
Ibrahim
Musa
Isa
Muhammad
Siddiqin
Kewalian
Kenabian
Ulul ‘Azmi
Ahmad
Syeikh
Mahdi
Abu Bakar
Muhammad
Allah
Ya Sayyid
Ya Sahib
Ya Siddiq
Ya Sayyid
Ya Allah
Kashf Qulub
Kashf Qubur
Jazbah Sukr
Hairat Sughra
Haqqul Yaqin
Kuning
Merah
Putih
Hitam
Hijau
Syari’at
Tariqat
Haqiqat
Ma’rifat
Khalwat
Mendengar
Melihat
Menyentuh
Menghidu
Merasa
Khinsar
Binsar
Wasat
Sababah
Ibham
Jari Anak
Jari Manis
Jari Tengah
Jari Telunjuk
Ibu Jari

ALAM KHALAQ

Alam Khalaq adalah alam tidak kekal yang mana kejadiannya berlaku secara berperingkat-peringkat. Ia dicipta dalam enam tempoh masa dan berada dalam batas masa dan ruang tempat. Ia juga mengandungi siang dan malam, kelahiran dan kematian. Alam Khalaq berada di dalam Daerah Imkan pada kedudukan di bawah ‘Arash.

Alam Khalaq mengandungi Nafs dan Empat Anasir iaitu Angin, Api, Air dan Tanah. Secara ringkasnya Alam Khalaq adalah merujuk kepada tubuh Jasmani manusia. Kedudukannya pada badan manusia adalah pada seluruh jasad. Tubuh badan jasmani manusia mengandungi keempat-empat unsur ini ditemukan dengan Nafs bagi membentuk Alam Khalaq.

Hadhrat Mujaddid Alf Tsani Syeikh Ahmad Faruqi Sarhindi Rahmatullah ‘alaih telah menyatakan di dalam kitabnya Ma’arif Laduniyyah pada Makrifat 26 berkenaan Fana dan Latifah sebagai berikut :

“Fana bererti melupakan semua perkara kecuali Allah Ta’ala. Setiap satu dari kelima-lima Latifah dalam Alam Amar terkandung bayangan gambaran dan takluk keasyikan di dalam tubuh badan manusia. Kelima-lima Latifah itu telah diberikan nama sebagai Qalb, Ruh, Sir, Khafi dan Akhfa. Kebanyakan Aulia Allah tidak dapat membezakannya di antara satu dengan yang lain lalu menggelarkan kesemuanya sebagai Ruh. Apabila dimaksudkan Ruh, maka kelima-lima perkara ini juga turut difahami. Ruh iaitu suatu Latifah sudah pun mengenali Allah Ta’ala sebelum ia di gabungkan dengan tubuh badan jasmani. Ia memiliki sedikit keinginan, pengetahuan dan cinta terhadap Allah Ta’ala. Ia telah diberikan tenaga dan kemampuan untuk mencapai ketinggian dan terpuji. Akan tetapi ia tidak akan dapat mencapai kecemerlangan selagi ia tidak bergabung dengan tubuh badan jasmani. Untuk maju dan cemerlang, ia perlu disatukan dengan tubuh badan. Untuk maksud ini, pada mulanya Ruh telah diberikan takluk keasyikan terhadap tubuh badan.”

“Kemudian, ia telah diberikan kebenaran untuk menuju ke tubuh badan lalu ia tercampak ke tubuh badan. Dengan keadaannya yang halus dan suci, ia tenggelam ke dalam tubuh badan manusia. Ia menjadi tidak dikenali, tidak dikenali oleh tubuh badan. Ia lupa tentang dirinya. Ia terus menyangka dirinya adalah tubuh badan. Ia kehilangan dirinya di dalam tubuh badan. Kerana itulah kebanyakan manusia menyangka diri mereka sebagai hanya tubuh badan. Tidak menyedari tentang kewujudan Ruh, mereka menafikannya. Allah Ta’ala dengan sifatNya Yang Maha Mengasihani telah menghantar pesanan kepada manusia iaitu Ruh, menerusi Para Nabi dan Rasul ‘Alaihimussolatu wassalam. Dia mengajak mereka kepada DiriNya. Dia melarang mereka dari bergantung kepada tubuh badan yang gelap ini.”

“Seseorang yang yang telah ditetapkan untuk memperolehi kebaikan yang kekal akan mentaati perintah-perintah Allah dan meninggalkan pergantungannya terhadap tubuh badan. Dia mengucapkan kesejahteraan kepadanya dan ia akan terus kembali ke atas pada tahap ketinggiannya yang sebenar. Cintanya terhadap asal-usulnya yang pernah dirasakannya sebelum bergabung dengan tubuh badan meningkat secara peringkat demi peringkat. Cintanya terhadap benda yang bersifat sementara makin berkurangan. Apabila dia melupakan keseluruhan tentang tubuh badan jasmaninya yang gelap, yang mana tiada lagi rasa asyik dan cinta yang tinggal, maka dia sudah mencapai fana tubuh badan. Seterusnya, dia perlu melepasi satu daripada dua langkah asas pada jalan Tasawwuf iaitu Fana dan Baqa. Kemudian jika Allah menghendaki dan merahmatinya, dia akan mencapai peningkatan rohaniah lalu terus melupakan tentang dirinya. Apabila ketidak sedaran ini meningkat, dia akan langsung melupakan terus tentang dirinya. Dia tidak akan lagi mengenali sesuatu apapun selain dari Allah Ta’ala. Seterusnya dia akan mencapai Fana Ruh yang mana seterusnya dia perlu bergerak meneruskan langkahnya yang kedua.”

“Ruh datang ke dunia ini dengan keinginan untuk mencapai Fana yang kedua ini. Ianya tidak akan dapat dicapai tanpa datang ke dunia ini. Jika Latifah Qalb melepasi kedua-dua langkah ini bersama-sama Ruh, ia akan mencapai Fananya sendiri bersama-sama dengan Ruh. Jika Nafs menyertai Qalb dengan cara ini, ia juga akan disucikan, iaitu ia juga akan mancapai Fananya. Tetapi apabila Nafs telah mencapai tahap Qalb, jika ia tetap berada di situ tanpa berusaha mencapai peningkatan dan melepasi kedua-dua langkah ini, ia tidak akan dapat mencapai tahap ketidaksedaran. Ia tidak akan menjadi Mutmainnah atau jiwa yang tenang.”

“Seseorang yang telah mencapai Fana Ruh mungkin tidak mencapai Fana Qalb. Ruh ibarat bapa kepada Qalb dan Nafs pula ibarat ibu kepada Qalb. Jika Qalb mempunyai keinginan terhadap Ruh sebagai bapanya dan memalingkan dirinya dari Nafs sebagai ibunya dan jika keinginan ini bertambah kuat dan menarik Qalb ke arah bapanya, maka ia akan mencapai darjatnya. Ianya adalah dengan melepasi kedua-dua langkah ini. Apabila Qalb dan Ruh mencapai Fana, Nafs tidak semestinya turut mencapai Fana. Jika Nafs mempunyai keasyikan dan keinginan terhadap anaknya, dan jika keinginan ini semakin bertambah dan membuatkannya semakin dekat dengan anaknya yang telah mencapai darjat bapanya, maka ibunya juga akan menjadi seperti mereka.”

“Keadaan yang sama juga berlaku untuk mencapai Fana pada Latifah Sir, Khafi dan Akhfa. Segala ingatan dan fikiran yang telah dipadamkan dan dilenyapkan dari Qalb hatinya menunjukkan kebenaran bahawa Ia telah melupakan segala perkara yang lain selain Allah Ta’ala. Tidak ada daya upaya untuk mengingat sesuatu apa pun bermakna bahawa pengetahuan dan segala sesuatu telah lenyap. Di dalam Fana, ilmu pengetahuan juga perlu dilenyapkan.”

Apabila Allah Ta’ala mengkehendaki seseorang hamba itu termasuk ke dalam urusanNya, maka Dia akan menyampaikan hamba itu untuk berkhidmat kepada salah seorang dari RakanNya, kemudian RakanNya itu akan menilai hal keadaanya dan memberikan arahan untuknya melakukan latihan Kerohanian dan Mujahadah dan menyucikan batinnya dan menerusi memperbanyakkan Zikir dan Fikir, latifah-latifahnya yang tersembunyi itu akan kembali bertawajjuh kepada asal usulnya.

Pada zaman ini, disebabkan kebanyakan penuntut menghadapi lemah semangat dan Himmat, kerana itulah Para Masyaikh Naqshbandiyah Rahimahumullah semenjak awal lagi mengarahkan murid mengamalkan jalan zikir dan sebagai menggantikan amalan dan latihan yang sukar serta Mujahadah dan Ibadah yang berat, mengarahkan amalan yang sederhana dan sentiasa memerhatikan waktu untuk melaksanakan ibadah dan melakukankan Tawajjuh kepada murid.

Para Masyaikh Naqshbandiyah telah mengarahkan sekelian murid mereka menuruti Sunnah Nabi Muhammad s.a.w. dan menjauhi segala bentuk Bid’ah serta mengarahkan para murid mereka untuk melakukan Zikir Khafi iaitu zikir yang tersembunyi.

Untuk menghasilkan nikmat zikir yang berterusan Para Masyaikh Naqshbandiyah telah menetapkan tiga jalan Zikir Khafi iaitu [1] Zikir Ismu Zat dan Nafi Itsbat, [2] Muraqabah dan [3] Rabitah Syeikh.

SEPULUH LATIFAH INSAN (TAREKAT NAQSHABANDIYYAH)

Oleh Hadhrat Faqir Maulawi Jalalludin Ahmad Ar-Rowi

Ketahuilah bahawa di sisi Hadhrat Imam Robbani Mujaddid Alf Tsani Syeikh Ahmad Faruqi Sirhindi Rahmatullah ‘Alaih dan sekelian para pengikutnya telah tsabit bahawa pada setiap insan terhimpun sepuluh Latifah. Lataif adalah kata jamak bagi latifah yang bererti kehalusan dan lima dari latifah tersebut adalah dari Alam Amar manakala lima latifah lagi adalah dari Alam Khalaq. Alam Amar dan Alam Khalaq adalah berada dalam lingkungan Daerah Imkan. Untuk memahami Tariqat Naqshbandiyah ini, amat penting untuk kita memahami tentang sepuluh lataif insan.

Lima Lataif dari Alam Amar itu adalah:

1. Qalb
2. Ruh
3. Sir
4. Khafi
5. Akhfa

Lima Lataif dari Alam Khalaq itu adalah:

1. Nafs
2. Angin
3. Api
4. Air
5. Tanah

Sewaktu Allah Subhanahu wa Ta’ala menciptakan rupa bentuk jasmani bagi insan, dikurniakannya juga lima Lataif Alam Amar di beberapa kedudukan pada badan manusia dan mengurniakannya takluk keasyikan.

Adapun bagi Alam Amar, kedudukan Latifah Qalb itu terletak pada tetek kiri pada anggaran dua jari di bawah puting dan cenderung sedikit ke arah ketiak. Kedudukan Latifah Ruh adalah di bawah tetek kanan pada anggaran dua jari di bawah puting. Kedudukan Latifah Sir adalah pada tetek kiri pada anggaran dua jari ke arah dada. Kedudukan Latifah Khafi adalah pada tetek kanan pada anggaran dua jari ke arah dada dan kedudukan Latifah Akhfa adalah pada tengah-tengah dada. Allah mengurniakan takluk keasyikan pada Lataif ini di tubuh badan manusia.

Takluk Alam Amar ini akan mencapai peningkatan rohani setelah disucikan sehinggalah kita dapat mengenali diri kita dan asal usul kita yang merupakan cahaya Nur yang tersembunyi dalam tubuh jasmani yang gelap dan zulmat ini.

Adapun bagi Alam Khalaq, kedudukan Latifah Nafs itu adalah di antara kedua-dua kening yang mewakili otak dan akal manusia. Seterusnya Latifah bagi empat anasir iaitu Tanah, Air, Api dan Angin adalah pada seluruh tubuh jasmani manusia. Sepertimana Alam Amar, Alam Khalaq juga perlu disucikan kerana dengan penyuciannya akan membawa seseorang itu kepada peningkatan pengenalan diri dan asal-usul hakikat kejadian.

Penyucian kesemua Sepuluh Lataif Insan ini di lakukan dalam 7 Peringkat. Peringkat pertama penyucian Latifah Qalb, kedua penyucian Latifah Ruh, ketiga penyucian Latifah Sir, keempat penyucian Latifah Khafi, kelima penyucian Latifah Akhfa, keenam penyucian Latifah Nafs dan ketujuh adalah penyucian Latifah Qolibiah iaitu Empat Anasir merangkumi Angin, Api, Air dan Tanah.

Penyucian Latifah pertama hingga keenam adalah berzikir pada kedudukan masing-masing seperti yang telah dijelaskan manakala penyucian Latifah yang ketujuh iaitu Latifah Qolibiah dengan berzikir pada setiap zarah, jisim dan rambut pada seluruh tubuh badan kita yang merangkumi kesemua Sepuluh Lataif. Dalam gambar (Rajah 1) dapat diperhatikan kedudukan Latifah-latifah pada tubuh badan manusia sebagai maqam berzikir.

1. Qalb
2. Ruh
3. Sir
4. Khafi
6. Nafs
5. Akhfa
7. Tanah (10)
7. Air (9)
7. Angin (7)
7. Api (8)

JALAN PENGHASILAN FAEDAH JALAN NAQSHBANDIYAH

Oleh Hadhrat Faqir Maulawi Jalalludin Ahmad Ar-Rowi

Menurut Para Masyaikh, cara untuk menghasilkan faedah yang sebesar-besarnya dengan limpahan Faidhz dan keberkatan yang sempurna atas jalan Naqshbandiyah ini, seseorang murid itu hendaklah sentiasa bersahabat dengan Syeikhnya dengan penuh adab tertib dan keikhlasan hati serta memenuhi segala syarat-syaratnya serta tetap memelihara zikir azkar seperti yang telah ditalqinkan oleh Syeikh kepada dirinya.

Dalam tariqat ini juga terdapat maqam-maqam yang amat tinggi kedudukan darjatnya dan padanya terdapat warid-warid yang juga tinggi kedudukannya dan merupakan bahagian suluk Para ‘Ulul ‘Azmi dan Para Muqarrabin. Mereka-mereka yang telah diberikan keahlian dan kemampuan untuk memasuki dan menempuhi jalan tersebut telah diberikan kemuliaan oleh Allah dan mereka itu akan terus maju menuju ke Hadhrat Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Jalan Naqshbandiyah ini seperti yang telah ditegaskan oleh Hadhrat Imam Rabbani Mujaddid Alf Tsani bahawa ianya merupakan jalan yang paling dekat, paling mendahului, paling menuruti, paling kukuh, paling selamat, paling berhikmah, paling benar, paling baik, paling tinggi, paling agung, paling atas kedudukannya, paling sempurna dan paling indah jalannya.

Dalam menuruti Tariqat Naqshbandiyah ini, Para Masyaikh mendahulukan Jazbah sebelum Suluk di mana seseorang murid yang benar-benar ikhlas berusaha menghasilkan tawajjuh yang sempurna dari Syeikhnya. Dengan berkat tawajjuh Syeikh, murid itu akan memperolehi jazbah yang mana keadaannya akan mula mengalami perubahan iaitu bertambahnya Zauq dan Shauq serta ruhnya akan merasai kelazatan dan ketenangan yang khas tatkala melakukan zikir dan ibadat.

Seseorang murid yang benar hendaklah mendalami ilmu agama terutamanya yang berkenaan dengan Syari’at Islam seperti yang telah dibawakan oleh Hadhrat Baginda Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam serta menghidupkan Sunnah Baginda s.a.w. di dalam kehidupan sehari-harian terutamanya di dalam amalan ibadat dan meningglkan segala bentuk Bid’ah yang sesat dalam pelaksanaan ibadat. Murid hendaklah sentiasa berpegang teguh dengan Al-Quran dan Hadis Nabi s.a.w.

Hendaklah melaksanakan Rukun Islam iaitu bersaksi kepada Allah dan Rasul dengan mengucapkan dua kalimah syahadah, mendirikan dan memelihara Solat lima waktu setiap hari, berpuasa pada bulan Ramadhan, berzakat dan menunaikan Haji apabila berkemampuan.

Hendaklah melaksanakan Rukun Iman iaitu beriman dengan penuh percaya dan yaqin dengan Allah, Para Malaikat Nya, Kitab-kitab Nya, Para Rasul Nya, Hari Akhirat, Taqdir yang baik dan buruk adalah dari Allah Ta’ala serta beriman dan yaqin dengan hari kebangkitan sesudah mati.

Seterusnya hendaklah melaksanakan Rukun Ihsan iaitu, “Engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat Nya dan merasakan bahawa Allah sedang melihat engkau”. Ihsan di dalam Solat adalah martabat untuk dicapai oleh orang awam manakala Ihsan di dalam dan di luar Solat adalah maqam yang dicapai oleh Para Nabi dan Rasul dan menjadi perjuangan sekelian ahli sufi yang menempuh jalan Tariqat.

PRINSIP ASAS TARIQAT NAQSHBANDIYAH

Oleh Hadhrat Faqir Maulawi Jalalludin Ahmad Ar-Rowi

Tariqat Naqshabndiyah mempunyai prinsip dasarnya yang tersendiri yang telah diasaskan oleh Hadhrat Khwajah Khwajahgan Maulana Syeikh Abdul Khaliq Ghujduwani Rahmatullah ‘alaih. Beliau telah meletakkan 8 prinsip asas ini sebagai dasar Tariqat Naqshbandiyah. Prinsip-prinsip ini dinyatakannya dalam frasa bahasa Parsi dan mengandungi pengertian dan pangajaran yang amat tinggi nilainya. Adapun prinsip-prinsipnya adalah seperti berikut :

1. Yad Kard
2. Baz Gasht
3. Nigah Dasyat
4. Yad Dasyat
5. Hosh Dar Dam
6. Nazar Bar Qadam
7. Safar Dar Watan
8. Khalwat Dar Anjuman

Hadhrat Syeikh Muhammad Parsa Rahmatullah ‘alaih yang merupakan sahabat, khalifah dan penulis riwayat Hadhrat Maulana Shah Bahauddin Naqshband Rahmatullah ‘alaih telah menyatakan di dalam kitabnya bahawa ajaran tariqat Hadhrat Khwajah Maulana Syeikh Abdul Khaliq Ghujduwani Rahmatullah ‘alaih berkenaan zikir dan ajaran lapan prinsip asas seperti yang dinyatakan di atas turut dianuti dan diamalkan oleh 40 jenis tariqat yang lain sebagai panduan kepada jalan kebenaran yang mulia iaitu jalan kesedaran dalam menuruti Sunnah Hadhrat Baginda Rasulullah s.a.w. dengan meninggalkan sebarang bentuk bida’ah dan bermujahadah melawan hawa nafsu. Kerana itulah Hadhrat Khwajah Maulana Syeikh Abdul Khaliq Ghujduwani Rahmatullah ‘alaih mencapai ketinggian rohani dan menjadi seorang Mahaguru Tariqat dan penghulu pemimpin kerohanian pada zamannya.


1. Yad Kard

“Yad” bererti ingat yakni zikir. Perkataan “Kard” pula bagi menyatakan kata kerja bagi ingat yakni pekerjaan mengingati Allah dan ianya merupakan zat bagi zikir.. Berkata para Masyaikh, Yad Kard bermaksud melakukan zikir mengingati Tuhan dengan menghadirkan hati. Murid yang telah melakukan bai’ah dan telah ditalqinkan dengan zikir hendaklah senantiasa sibuk mengingati Allah dengan kalimah zikir yang telah ditalqinkan. Zikir yang telah ditalqinkan oleh Syeikh adalah zikir yang akan membawa seseorang murid itu mencapai ketinggian darjat rohani.

Syeikh akan mentalqinkan zikir kepada muridnya sama ada zikir Ismu Zat ataupun zikir Nafi Itsbat secara Lisani ataupun Qalbi. Seseorang murid hendaklah melakukan zikir yang sebanyak-banyaknya dan sentiasa menyibukkan dirinya dengan berzikir. Pada setiap hari, masa dan keadaan, sama ada dalam keadaaan berdiri atau duduk atau berbaring ataupun berjalan, hendaklah sentiasa berzikir.

Pada lazimnya seseorang yang baru menjalani Tariqat Naqshbandiyah ini, Syeikh akan mentalqinkan kalimah Ismu Zat iaitu lafaz Allah sebagai zikir yang perlu dilakukan pada Latifah Qalb tanpa menggerakkan lidah. Murid hendaklah berzikir Allah pada latifah tersebut sebanyak 24 ribu kali sehari semalam setiap hari sehingga terhasilnya cahaya Warid.
Seterusnya murid hendaklah mengkhabarkan segala pengalaman ruhaniahnya kepada Syeikh apabila menerima warid tersebut. Begitulah pada setiap latifah, murid hendaklah berzikir sebanyak-banyaknya pada kesemua latifah seperti yang diarahkan oleh Syeikh sehingga tercapainya warid. Mengingati Allah secara sempurna adalah dengan berzikir menghadirkan hati ke Hadhrat ZatNya.

Setelah zikir Ismu Zat dilakukan pada setiap latifah dengan sempurna, Syeikh akan mentalqinkan pula zikir Nafi Itsbat iaitu kalimah LA ILAHA ILLALLAH yang perlu dilakukan sama ada secara Lisani iaitu menerusi lidah atau secara Qalbi iaitu berzikir menerusi lidah hati. Zikir Nafi Itsbat perlu dilakukan menurut kaifiatnya.

Syeikh akan menentukan dalam bentuk apa sesuatu zikir itu perlu dilakukan. Yang penting bagi Salik adalah menyibukkan diri dengan zikir yang telah ditalqinkan oleh Syeikh sama ianya zikir Ismu Zat ataupun Nafi Itsbat.

Salik hendaklah melakukan zikir Nafi Itsbat sehingga dia mencapai kejernihan hati dan tenggelam di dalam muraqabah. Murid hendaklah melakukan zikir Nafi Itsbat sebanyak 5 ribu ke 10 ribu kali setiap hari bagi menanggalkan segala kekaratan hati. Zikir tersebut akan membersihkan hati dan membawa seseorang itu kepada musyahadah.

Salik hendaklah memelihara zikir dengan hati dan lidah dengan menyebut Allah iaitu nama bagi Zat Tuhan yang merangkumi kesemua nama-namaNya dan sifat-sifatNya yang mulia serta dengan menyebut zikir Nafi Itsbat menerusi kalimah LA ILAHA ILLALLAH dengan sebanyak-banyaknya.

Zikir Nafi Itsbat menurut Akabirin Naqshbandiyah, seseorang murid yang baru itu hendaklah menutup kedua matanya, menutup mulutnya, merapatkan giginya, menongkatkan lidahnya ke langit-langit dan menahan nafasnya. Dia hendaklah mengucapkan zikir ini dengan hatinya bermula dari kalimah Nafi dan seterusnya kalimah Itsbat. Bagaimanapun, bagi murid yang telah lama hendaklah membukakan kedua matanya dan tidak perlu menahan nafasnya.

Bermula dari kalimah LA yang bererti Tiada, dia hendaklah menarik kalimah LA ini dari bawah pusatnya ke atas hingga ke otak. Apabila kalimah LA mencapai otak, ucapkan pula kalimah ILAHA di dalam hati yang bererti Tuhan. Kemudian hendaklah digerakkan dari otak ke bahu kanan sambil menyebut ILLA yang bererti Melainkan, lalu menghentakkan kalimah ALLAH ke arah Latifah Qalb. Sewaktu menghentakkan kalimah Allah ke arah Qalb, hendaklah merasakan bahawa kesan hentakan itu mengenai kesemua Lataif di dalam tubuh badan.

Zikir yang sebanyak-banyaknya akan membawa seseorang Salik itu mencapai kepada kehadiran Zat Allah dalam kewujudan secara zihni yakni di dalam fikiran. Salik hendaklah berzikir dalam setiap nafas yang keluar dan masuk. Yad Kard merupakan amalan di fikiran yang mana fikiran hendaklah sentiasa menggesa diri supaya sentiasa ingat kepada Allah dan melakukan zikir bagi mengingati ZatNya.

Pekerjaan berzikir mengingati Allah adalah suatu amalan yang tiada batas dan had. Ianya boleh dikerjakan pada sebarang tempat, masa dan keadaan. Hendaklah sentiasa memerhatikan nafas supaya setiap nafas yang keluar dan masuk itu disertai ingatan terhadap Zat Allah s.w.t.


2. Baz Gasht

Baz Gasht bererti kembali. Menurut para Masyaikh, maksudnya ialah seseorang yang melakukan zikir dengan menggunakan lidah hati menyebut Allah Allah dan La ilaha Illallah, begitulah juga setelah itu hendaklah mengucapkan di dalam hati dengan penuh khusyuk dan merendahkan diri perkataan ini,
“Ilahi anta maqsudi, wa ridhoka matlubi.”
Yang bererti,

“Wahai Tuhanku Engkaulah maksudku dan keredhaanMu tuntutanku.”

Ianya merupakan ucapan Hadhrat Baginda Rasulullah s.a.w. ucapan ini akan meningkatkan tahap kesedaran kepada kewujudan dan kesaan Zat Tuhan, sehingga dia mencapai suatu tahap di mana segala kewujudan makhluk terhapus pada pandangan matanya. Apa yang dilihatnya walau kemana jua dia memandang, yang dilihatnya hanyalah Keesaan Zat Tuhan. Ucapan kata-kata ini juga memberikan kita pengertian bahawa hanya Allah yang menjadi maksud dan matlamat kita dan tidak ada tujuan lain selain untuk mendapatkan keredhaanNya.

Salik hendaklah mengucapkan kalimah ini bagi menghuraikan segala rahsia Keesaan Zat Tuhan dan supaya terbuka kepadanya keunikan hakikat Kehadiran Zat Allah. Sebagai murid, tidak boleh meninggalkan zikir kalimah ini meskipun tidak merasakan sebarang kesan pada hati. Dia hendaklah tetap meneruskan zikir kalimah tersebut sebagai menuruti Syeikhnya.

Makna Baz Gasht ialah kembali kepada Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Mulia dengan menunjukkan penyerahan yang sempurna, mentaati segala kehendakNya dan merendahkan diri dengan sempurna dalam memuji ZatNya. Adapun lafaz Baz Gasht dalam Bahasa Parsi seperti yang diamalkan oleh para Akabirin Naqshabandiyah Mujaddidiyah adalah seperti berikut :

“Khudawanda, maqsudi man Tui wa ridhai Tu, tarak kardam dunya wa akhirat barai Tu. Mahabbat wa ma’rifati Khud badih.”
Yang bererti,

“Tuhanku, maksudku adalah Engkau dan keredaanMu, ku lepaskan dunia dan akhirat kerana Engkau. Kurniakanlah cinta dan makrifat ZatMu.”

Pada permulaan, jika Salik sendiri tidak memahami hakikat kebenaran ucapan kata-kata ini, hendaklah dia tetap juga menyebutnya kerana menyebut kata-kata itu dengan hati yang khusyuk dan merendahkan diri akan menambahkan lagi pemahamannya dan secara sedikit demi sedikit Salik itu akan merasai hakikat kebenaran perkataan tersebut dan Insya Allah akan merasai kesannya.

Hadhrat Baginda Rasulullah s.a.w. telah menyatakan dalam doa Baginda,

“Ma zakarnaka haqqa zikrika Ya Mazkur.”
Yang bererti,

“Kami tidak mengingatiMu dengan hak mengingatiMu secara yang sepatutnya, Wahai Zat yang sepatutnya diingati.”

Seseorang Salik itu tidak akan dapat hadir ke Hadhrat Allah menerusi zikirnya dan tidak akan dapat mencapai musyahadah terhadap rahsia rahsia dan sifat-sifat Allah menerusi zikirnya jika dia tidak berzikir dengan sokongan dari Allah s.w.t. dan menerusi ingatan Allah s.w.t. terhadap dirinya.

Hadhrat Maulana Syeikh Abu Yazid Bustami Rahmatullah ‘alaih telah berkata, “Apabila daku mencapai ZatNya, daku melihat bahawa ingatanNya terhadap diriku mendahului ingatanku terhadap diriNya.” Seorang Salik itu tidak akan dapat berzikir dengan kemampuan dirinya bahkan dia hendaklah sentiasa menyedari bahawa Allah s.w.t.lah yang sedang berzikir menerusi dirinya.


3. Nigah Dasyat

Nigah bererti mengawasi dan Dasyat pula bererti melakukannya dengan bersungguh-sungguh. Maksudnya ialah seseorang Salik itu sewaktu melakukan zikir hendaklah sentiasa memelihara hati dari sebarang khatrah lintasan hati dan was-was Syaitan. Jangan biarkan khayalan kedukaan memberi kesan kepada hati. Setiap hari hendaklah melapangkan masa selama sejam ke dua jam ataupun lebih untuk memelihara hati dari segala ingatan selain Allah s.w.t. Selain diriNya, jangan ada sebarang khayalan dan lakukan latihan ini sehingga selain Allah segala-galanya menjadi lenyap.

Nigah Dasyat juga bermakna seseorang Salik itu mesti memerhatikan hatinya dan menjaganya dengan menghindarkan sebarang ingatan yang buruk masuk ke dalam hati. Ingatan dan keinginan yang buruk akan manjauhkan hati dari kehadiran Allah. Kesufian yang sebenar adalah daya untuk memelihara hati dari ingatan yang buruk dan memeliharanya dari sebarang keinginan yang rendah. Seseorang yang benar-benar mengenali hatinya akan dapat mengenali Tuhannya.

Di dalam tariqat Naqshbandiyah ini, seseorang Salik yang dapat memelihara hatinya dari sebarang ingatan yang buruk selama 15 minit adalah merupakan suatu pencapaian yang besar dan menjadikannya layak sebagai seorang ahli Sufi yang benar.

Hadhrat Maulana Shah Ghulam ‘Ali Dehlawi Rahmatullah ‘alaih menyatakan di dalam kitabnya Idhahut Tariqah bahawa, “Nigah Dasyat adalah merupakan syarat ketika berzikir, bahawa ketika berzikir hendaklah menghentikan segala khayalan serta was-was dan apabila sebarang khayalan yang selain Allah terlintas di dalam hati maka pada waktu itu juga hendaklah dia menjauhkannya supaya khayalan ghairullah tidak menduduki hati.”

Hadhrat Maulana Syeikh abul Hassan Kharqani Rahmatullah ‘alaih pernah berkata, “Telah berlalu 40 tahun di mana Allah sentiasa melihat hatiku dan telah melihat tiada sesiapapun kecuali DiriNya dan tiada ruang bilik di dalam hatiku untuk selain dari Allah.”

Hadhrat Syeikh Abu Bakar Al-Qittani pernah berkata, “ Aku menjadi penjaga di pintu hatiku selama 40 tahun dan aku tidak pernah membukanya kepada sesiapa pun kecuali Allah Subhanahu wa Ta’ala sehinggakan hatiku tidak mengenali sesiapapun kecuali Allah Subhanahu wa Ta’ala.”

Seorang Syeikh Sufi bernah berkata, “Oleh kerana aku telah menjaga hatiku selama sepuluh malam, hatiku telah menjagaku selama dua puluh tahun.”
4. Yad Dasyat

Yad Dasyat bererti mengingati Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan bersungguh-sungguh dengan Zauq Wijdani sehingga mencapai Dawam Hudhur yakni kehadiran Zat Allah secara kekal berterusan dan berada dalam keadaan berjaga-jaga memerhatikan limpahan Faidhz dari sisi Allah Subhanahu wa Ta’ala. Kesedaran ini diibaratkan sebagai Hudhur Bey Ghibat dan merupakan Nisbat Khassah Naqshbandiyah.

Yad Dasyat juga bermakna seseorang yang berzikir itu memelihara hatinya pada setiap penafian dan pengitsbatan di dalam setiap nafas tanpa meninggalkan Kehadiran Zat Allah Subhanahu wa Ta’ala. Ianya menghendaki agar Salik memelihara hatinya di dalam Kehadiran Kesucian Zat Allah Subhanahu wa Ta’ala secara berterusan. Ini untuk membolehkannya agar dapat merasai kesedaran dan melihat Tajalli Cahaya Zat Yang Esa atau disebut sebagai Anwar uz-Zat il-Ahadiyah

Menurut Hadhrat Maulana Shah Ghulam ‘Ali Dehlawi Rahmatullah ‘alaih, Yad Dasyat merupakan istilah para sufi bagi menerangkan keadaan maqam Syuhud atau Musyahadah yang juga dikenali sebagai ‘Ainul Yaqin atau Dawam Hudhur dan Dawam Agahi. Di zaman para Sahabat Ridhwanullah ‘alaihim ajma’in ianya disebut sebagai Ihsan.

Ia merupakan suatu maksud di dalam Tariqah Naqshbandiyah Mujaddidiyah bagi menghasilkan Dawam Hudhur dan Dawam Agahi dengan Hadhrat Zat Ilahi Subhanahu wa Ta’ala dan di samping itu berpegang dengan ‘Aqidah yang sahih menurut Ahlus Sunnah wal Jama’ah dan melazimkan diri beramal menuruti Sunnah Nabawiyah Sallallahu ‘alaihi wa sallam.

Jika Salik tidak memiliki ketiga-tiga sifat ini iaitu tetap mengingati Zat Ilahi, beri’tiqad dengan ‘aqidah Ahlus Sunnah wal Jama’ah dan menuruti Sunnah Nabi s.a.w. ataupun meninggalkan salah satu darinya maka dia adalah terkeluar dari jalan tariqat Naqshbandiyah, na’uzu billahi minha!


5. Hosh Dar Dam

Hosh bererti sedar, Dar bererti dalam dan Dam bererti nafas, yakni sedar dalam nafas. Seseorang Salik itu hendaklah berada dalam kesedaran bahawa setiap nafasnya yang keluar masuk mestilah beserta kesedaran terhadap kehadiran Zat Allah Ta’ala. Jangan sampai hati menjadi lalai dan leka dari kesedaran terhadap kehadiran Zat Allah. Dalam setiap nafas hendaklah menyedari kehadiran ZatNya.

Menurut Hadhrat Khwajah Maulana Syeikh Abdul Khaliq Ghujduwani Rahmatullah ‘alaih bahawa, “Seseorang Salik yang benar hendaklah menjaga dan memelihara nafasnya dari kelalaian pada setiap kali masuk dan keluarnya nafas serta menetapkan hatinya sentiasa berada dalam Kehadiran Kesucian ZatNya dan dia hendaklah memperbaharukan nafasnya dengan ibadah dan khidmat serta membawa ibadah ini menuju kepada Tuhannya seluruh kehidupan, kerana setiap nafas yang disedut dan dihembus beserta KehadiranNya adalah hidup dan berhubung dengan Kehadiran ZatNya Yang Suci. Setiap nafas yang disedut dan dihembus dengan kelalaian adalah mati dan terputus hubungan dari Kehadiran ZatNya Yang Suci.”

Hadhrat Khwajah Maulana Syeikh ‘Ubaidullah Ahrar Rahmatullah ‘alaih berkata, “Maksud utama seseorang Salik di dalam Tariqah ini adalah untuk menjaga nafasnya dan seseorang yang tidak dapat menjaga nafasnya dengan baik makan dikatakan kepadanya bahawa dia telah kehilangan dirinya.”

Hadhrat Shah Naqshband Rahmatullah ‘alaih berkata, “ Tariqat ini dibina berasaskan nafas, maka adalah wajib bagi setiap orang untuk menjaga nafasnya pada waktu menghirup nafas dan menghembuskan nafas dan seterusnya menjaga nafasnya pada waktu di antara menghirup dan menghembuskan nafas.”

Hadhrat Syeikh Abul Janab Najmuddin Al-Kubra Rahmatullah ‘alaih berkta dalam kitabnya Fawatihul Jamal bahawa, “Zikir adalah sentiasa berjalan di dalam tubuh setiap satu ciptaan Allah sebagai memenuhi keperluan nafas mereka biarpun tanpa kehendak sebagai tanda ketaatan yang merupakan sebahagian dari penciptaan mereka. Menerusi pernafasan mereka, bunyi huruf ‘Ha’ dari nama Allah Yang Maha Suci berada dalam setiap nafas yang keluar masuk dan ianya merupakan tanda kewujudan Zat Yang Maha Ghaib sebagai menyatakan Keunikan dan Keesaan Zat Tuhan. Maka itu amatlah perlu berada dalam kesedaran dan hadir dalam setiapnafas sebagai langkah untuk mengenali Zat Yang Maha Pencipta.”

Nama Allah yang mewakili kesemua Sembilan Puluh Sembilan Nama-Nama dan Sifat-Sifat Allah dan Af’alNya adalah terdiri dari empat huruf iaitu Alif, Lam, Lam dan Ha. Para Sufi berkata bahawa Zat Ghaib Mutlak adalah Allah Yang Maha Suci lagi Maha Mulia KetinggianNya dan DiriNya dinyatakan menerusi huruf yang terakhir dari Kalimah Allah iaitu huruf Ha. Huruf tersebut apabila ditemukan dengan huruf Alif akan menghasilkan sebutan ‘Ha’ yang memberikan makna ‘Dia Yang Ghaib’ sebagai kata gantidiri.

Bunyi sebutan ‘Ha’ itu sebagai menampilkan dan menyatakan bukti kewujudan ZatNya yang Ghaib Mutlak. [ Ghaibul Huwiyyatil Mutlaqa Lillahi ‘Azza wa Jalla ]. Huruf Lam yang pertama adalah bermaksud Ta’rif atau pengenalan dan huruf Lam yang kedua pula adalah bermaksud Muballagah yakni pengkhususan.

Menjaga dan memelihara hati dari kelalaian akan membawa seseorang itu kepada kesempurnaan Kehadiran Zat, dan kesempurnaan Kehadiran Zat akan membawanya kepada kesempurnaan Musyahadah dan kesempurnaan Musyahadah akan membawanya kepada kesempurnaan Tajalli Sembilan Puluh Sembilan Nama-Nama dan Sifat-Sifat Allah.

Seterusnya Allah akan membawanya kepada penzahiran kesemua Sembilan Puluh Sembilan Nama-Nama dan Sifat-Sifat Allah dan Sifat-sifatNya yang lain kerana adalah dikatakan bahawa Sifat Allah itu adalah sebanyak nafas-nafas manusia.

Perlu diketahui bahawa menjaga nafas dari kelalaian adalah amat sukar bagi seseorang Salik, lantaran itu mereka hendaklah menjaganya dengan memohon Istighfar yakni keampunan kerana memohon istighfar akan menyucikan hatinya dan mensucikan nafasnya dan menyediakan dirinya untuk menyaksikan penzahiran manifestasi Allah Ta’ala di mana-mana jua.




6. Nazar Bar Qadam

Nazar bererti memandang, Bar bererti pada, dan Qadam pula bererti kaki. Seseorang Salik itu ketika berjalan hendaklah sentiasa memandang ke arah kakinya dan jangan melebihkan pandangannya ke tempat lain dan setiap kali ketika duduk hendaklah sentiasa memandang ke hadapan. Jangan menoleh ke kiri dan ke kanan kerana ianya akan menimbulkan fasad yang besar dalam dirinya dan akan menghalangnya dari mencapai maksud.

Nazar Bar Qadam bermakna ketika seseorang Salik itu sedang berjalan, dia hendaklah tetap memerhatikan langkah kakinya. Di mana jua dia hendak meletakkan kakinya, matanya juga perlu memandang ke arah tersebut. Tidak dibolehkan baginya melemparkan pandangannya ke sana sani, memandang kiri dan kanan ataupun di hadapannya kerana pandangan yang tidak baik akan menghijabkan hatinya.

Kebanyakan hijab-hijab di hati itu terjadi kerana bayangan gambaran yang dipindahkan dari pandangan penglihatan mata ke otak sewaktu menjalani kehidupan seharian. Ini akan mengganggu hati dan menimbulkan keinginan memenuhi berbagai kehendak hawa nafsu seperti yang telah tergambar di ruangan otak. Gambaran-gambaran ini merupakan hijab-hijab bagi hati dan ianya menyekat Cahaya Kehadiran Zat Allah Yang Maha Suci.

Kerana itulah para Masyaikh melarang murid mereka yang telah menyucikan hati mereka menerusi zikir yang berterusan dari memandang ke tempat yang selain dari kaki mereka. Hati mereka ibarat cermin yang menerima dan memantulkan setiap gambaran dengan mudah. Ini akan mengganggu mereka dan akan menyebabkan kekotoran hati. Maka itu, Salik diarahkan agar merendahkan pandangan supaya mereka tidak terkena panahan dari panahan Syaitan.

Merendahkan pandangan juga menjadi tanda kerendahan diri. Orang yang bongkak dan sombong tidak memandang ke arah kaki mereka ketika berjalan. Ia juga merupakan tanda bagi seseorang yang menuruti jejak langkah Hadhrat Baginda Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam yang mana Baginda s.a.w. ketika berjalan tidak menoleh ke kiri dan ke kanan tetapi Baginda hanya melihat ke arah kakinya, bergerak dengan pantas menuju ke arah destinasinya.

Pengertian batin yang dituntut dari prinsip ini ialah supaya Salik bergerak dengan laju dan pantas dalam melakukan perjalanan suluk, yang mana apa jua maqam yang terpandang olehnya maka dengan secepat yang mungkin kakinya juga segera sampai pada kedudukan maqam tersebut. Ia juga menjadi tanda ketinggian darjat seseorang yang mana dia tidak memandang kepada sesuatupun kecuali Tuhannya.

Sepertimana seseorang yang hendak lekas menuju kepada tujuannya, begitulah seorang Salik yang menuju Kehadhrat Tuhan hendaklah lekas-lekas bergerak, dengan cepat dan pantas, tidak menoleh ke kiri dan ke kanan, tidak memandang kepada hawa nafsu duniawi sebaliknya hanya memandang ke arah mencapai Kehadiran Zat Tuhan Yang Suci.

Hadhrat Maulana Imam Rabbani Mujaddid Alf Tsani Syeikh Ahmad Faruqi Sarhindi Rahmatullah ‘alaih telah berkata dalam suratnya yang ke-259 di dalam Maktubat, “Pandangan mendahului langkah dan langkah menuruti pandangan. Mi’raj ke maqam yang tinggi di dahului dengan Basirah kemudian diikuti dengan langkah. Apabila langkah telah mencapai Mi’raj tempat yang dipandang, maka kemudian pandangan akan diangkat ke suatu maqam yang lain yang mana langkah perlu menurutinya.”
“Kemudian pandangan akan diangkat ke tempat yang lebih tinggi dan langkah akan menurutinya. Begitulah seterusnya sehingga pandangan mencapai maqam kesempurnaan yang mana langkahnya akan diberhentikan.”

“Kami katakana bahawa, apabila langkah menuruti pandangan, murid telah mencapai maqam kesediaan untuk menuruti jejak langkah Hadhrat Baginda Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. Jejak langkah Hadhrat Baginda Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam adalah merupakan sumber asal bagi segala langkah.”

Hadhrat Shah Naqshband Rahmatullah ‘alaih berkata, “Jika kita memandang kesalahan sahabat-sahabat, kita akan ditinggalkan tanpa sahabat kerana tiada seorang juapun yang sempurna.”


7. Safar Dar Watan

Safar bererti menjelajah, berjalan atau bersiar, Dar bererti dalam dan Watan bererti kampung. Safar Dar Watan bermakna bersiar-siar dalam kampung dirinya yakni kembali berjalan menuju Tuhan.

Seseorang Salik itu hendaklah menjelajah dari dunia ciptaan kepada dunia Yang Maha Pencipta. Hadhrat Baginda Nabi s.a.w. pernah bersabda yang mafhumnya, “Daku sedang menuju Tuhanku dari suatu hal keadaan ke hal keadaan yang lebih baik dan dari suatu maqam ke suatu maqam yang lebih baik.”

Salik hendaklah berpindah dari kehendak hawa nafsu yang dilarang kepada kehendak untuk berada dalam KehadiranNya. Dia hendaklah meninggalkan segala sifat-sifat Basyariyah [kemanusiawian] yang tidak baik dan berusaha meningkatkan dirinya dengan sifat-sifat Malakutiyah [kemalaikatan] yang terdiri dari sepuluh maqam iaitu : [1] Taubat [2] Inabat [3] Sabar [4] Syukr [5] Qana’ah [6] Wara’ [7] Taqwa [8] Taslim [9] Tawakkal [10] Redha.

Para Masyaikh membahagikan perjalanan ini kepada dua kategori iaitu Perjalanan Luaran dan Perjalanan Dalaman. Perjalanan luaran adalah perjalanan dari suatu tempat ke suatu tempat mencari seorang pembimbing rohani yang sempurna bagi dirinya dan akan menunjukkan jalan ke tempat yang dimaksudkannya. Ini akan membolehkannya untuk memulakan perjalanan dalaman.

Seorang Salik apabila dia sudah menemui seorang pembimbing rohani yang sempurna bagi dirinya adalah di larang dari melakukan perjalanan luaran. Di dalam perjalanan luaran ini terdapat berbagai kesukaran yang mana seseorang yang baru menuruti jalan ini tidak dapat tidak pasti akan terjerumus ke dalam tindakan yang dilarang, kerana mereka adalah lemah dalam menunaikan ibadah mereka.

Perjalanan yang bersifat dalaman pula mengkehendakkan agar seseorang Salik itu meninggalkan segala tabiat yang buruk dan membawa adab tertib yang baik ke dalam dirinya serta mengeluarkan dari hatinya segala keinginan duniawi. Dia akan diangkat dari suatu maqam yang kotor zulmat ke suatu maqam kesucian.

Pada waktu itu dia tidak perlu lagi melakukan perjalanan dalaman. Hatinya telah dibersihkan dan menjadikannya tulin seperti air, jernih seperti kaca, bersih bagaikan cermin lalu menunjukkannya hakikat setiap segala suatu urusan yang penting dalam kehidupan sehariannya tanpa memerlukan sebarang tindakan yang bersifat luaran bagi pihak dirinya. Di dalam hatinya akan muncul segala apa yang diperlukan olehnya dalam kehidupan ini dan kehidupan mereka yang berada di sampingnya.

Hadhrat Maulana Shah Ghulam ‘Ali Dehlawi Rahmatullah ‘alaih telah berkata, “Ketahuilah bahawa apabila hati tertakluk dengan sesuatu selain Allah dan khayalan yang buruk menjadi semakin kuat maka limpahan Faidhz Ilahi menjadi sukar untuk dicapai oleh batin.”

“Jesteru itu dengan kalimah LA ILAHA hendaklah menafikan segala akhlak yang buruk itu sebagai contohnya bagi penyakit hasad, sewaktu mengucapkan LA ILAHA hendaklah menafikan hasad itu dan sewaktu mengucapkan ILLALLAH hendaklah mengikrarkan cinta dan kasih saying di dalam hati. Begitulah ketika melakukan zikir Nafi Itsbat dengan sebanyak-banyaknya lalu menghadap kepada allah dneganrasa hina dan rendah diri bagi menghapuskan segala keburukan diri sehinggala keburukan dirinya itu benar-benar terhapus.”

“Begitulah juga terhadap segala rintangan batin, ianya perlu disingkirkan supaya terhasilnya tasfiyah dan tazkiyah. Latihan ini merupakan salah satu dari maksud Safar Dar Watan.”


8. Khalwat Dar Anjuman

Khalwat bererti bersendirian dan Anjuman bererti khalayak ramai, maka pengertiannya ialah bersendirian dalam keramaian. Maksudnya pada zahir, Salik bergaul dengan manusia dan pada batinnya dia kekal bersama Allah Ta’ala. Terdapat dua jenis khalwat iaitu Khalwat Luaran dan Khalwat Dalaman.

Khalwat luaran menghendaki Salik agar mengasingkan dirinya di tempat yang sunyi dan jauh dari kesibukan manusia. Secara bersendirian Salik menumpukan kepada zikrullah dan muraqabah untuk mencapai penyaksian Kebesaran dan Keagungan Kerajaan Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Apabila sudah mencapai fana menerusi zikir fikir dan semua deria luaran difanakan, pada waktu itu deria dalaman bebas meneroka ke Alam Kebesaran dan Keagungan Kerajaan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Ini seterusnya akan membawa kepada khalwat dalaman.

Khalwat dalaman bermaksud berkhalwat dalam kesibukan manusia. Hati Salik hendaklah sentiasa hadir ke Hadhrat Tuhan dan hilang dari makhluk sedang jasmaninya sedang hadir bersama mereka. Dikatakan bahawa seseorang Salik yang Haq sentiasa sibuk dengan zikir khafi di dalam hatinya sehinggakan jika dia masuk ke dalam majlis keramaian manusia, dia tidak mendengar suara mereka. Keadaan berzikir itu mengatasi dirinya dan penzahiran Hadhrat Suci Tuhan sedang menariknya membuatkannya tidak menghiraukan segala sesuatu yang lain kecuali Tuhannya. Ini merupakan tingkat khalwat yang tertinggi dan dianggap sebagai khalwat yang sebenar seperti yang dinyatakan dalam ayat Al-Quran :

Rijalulla tulhihim tijaratun wala bay’un ‘an zikrillah

“Para lelaki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan jual beli dari mengingati Allah.” [ 24 : 37 ]. Inilah merupakan jalan Tariqah Naqshbandiyah.

Hadhrat Khwajah Shah Bahauddin Naqshband Quddisa Sirruhu telah ditanyakan orang bahawa apakah yang menjadi asas bagi tariqatnya? Beliau menjawab, berdasarkan Khalwat Dar Anjuman, yakni zahir berada bersama Khalaq dan batin hidup bersama Haq serta menempuh kehidupan dengan menganggap bahawa Khalaq mempunyai hubungan dengan Tuhan. Sebagai Salik dia tidak boleh berhenti dari menuju kepada maksudnya yang hakiki.

Khalwat yang utama di sisi para Masyaikh Naqshbandiyah adalah khalwat dalaman kerana mereka sentiasa berada bersama Tuhan mereka dan pada masa yang sama mereka berada bersama dengan manusia. Sepertimana mafhum sabdaan Hadhrat Baginda Rasulullah s.a.w., “Padaku terdapat dua sisi. Satu sisiku menghadap ke arah Pencipta ku dan satu sisi lagi menghadap ke arah makhluk ciptaan.”

Hadhrat Shah Naqshband Rahmatullah ‘alaih berkata,

“Tariqatuna as-suhbah wal khayru fil jam’iyyat”

“Jalan tariqah kami adalah dengan cara bersahabat dan kebaikan itu dalam berjemaah.”

Adalah dikatakan bahawa seseorang beriman yang dapat bercampur gaul dengan manusia dan menanggung berbagai masaalah dalam kehidupan adalah lebih baik dari orang beriman yang menghindarkan dirinya dari manusia.

Imam Rabbani Rahmatullah ‘alaih telah berkata, “Perlulah diketahui bahawa Salik pada permulaan jalannya mungkin menggunakan khalwat luaran untuk mengasingkan dirinya dari manusia, beribadat dan bertawajjuh kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala sehingga dia mencapai tingkat darjat yang lebih tinggi. Pada waktu itu dia akan dinasihatkan oleh Syeikhnya seperti kata-kata Sayyid Al-Kharraz rahmatullah ‘alaih iaitu kesempurnaan bukanlah dalam mempamerkan karamah yang hebat-hebat tetapi kesempurnaan yang sebenar ialah untuk duduk bersama manusia, berjual beli, bernikah kahwin dan mendapatkan zuriat dan dalam pada itu sekali-kali tidak meninggalkan Kehadiran Allah walaupun seketika.”

Hadhrat Shah Ghulam ‘Ali Dehlawi Rahmatullah ‘alaih berkata, “Daripada masamu, jangan ada sebarang waktu pun yang engkau tidak berzikir dan bertawajjuh serta mengharapkan Kehadiran Allah Ta’ala dan bertemulah dengan manusia dan berzikirlah walaupun berada di dalam keramaian dan sentiasa berjaga-jaga memerhatikan limpahan Allah.”

Berkata Penyair,
Limpahan Faidhz Al-Haq datang tiba-tiba tetapi hatiku memerhatikan waridnya,
Biarpun di waktu sekali kerdipan mata namun diriku sekali-kali tidak leka,
Boleh jadi Dia sedang memerhatikanmu dan dikau tidak memperhatikannya.

Hal keadaan ini dinamakan Khalwat Dar Anjuman iaitu “Ka in haqiqat wa ba in surat” yakni hakikat dirinya berzama Zat Tuhan dan tubuh badan bersama makhluk ciptaan Tuhan.
Masyaikh menggelarkannya sebagai ‘Sufi Kain Bain’