Catatan Popular

Jumaat, 13 Oktober 2017

HIKAM ATHAILLAH KE 32 : SYARAH TOK PULAU MANIS - BERSIHKAN YANG AIB TERBUKA YANG GHAIB



Kata Sheikh Ibni Athoillah As-Kandary yang bermaksud; 

"Penglihatan kepada yang tersembunyi dalam dirimu daripada segala Aib-aib itu terlebih baik daripada melihat kepada yang didinding daripadamu daripada segala yang Ghaib-ghaib".

Penglihatan kepada yang tersembunyi dalam dirimu daripada segala yang aib-aib itu (iaitu dari) sifat-sifat kecelaan dirimu dalam segala perangai dan segala afaal(perbuatan) dan segala adab yang menuntut akan dikau daripada jalan Istiqamah dan ikhlas terlebih baik bagimu daripada melihat kepada yang didinding daripadamu daripada segala (yang) Ghaib iaitu AsroR(rahsia) yang datang ia atasmu kemudian daripada terangkat hijab dirimu(dan)Ghaib yang tersembunyi itu ialah segala penyakit hati kerana sukar melihat dalamnya dan sukar mengubati dia dan yang zhohir itu mudah untuk menghilangkannya. 

Keterangan suluk. 

Aib-aib yang tersembunyi yang dimaksudkan oleh Tok Pulau Manis ialah kejahatan yang terdiri daripada;
1. Perangai atau sifat-sifat hati yang diselaputi oleh syahwat yang tersembunyi seperti syirik khofi, riya, ujub, suma'ah, takabbur, hasad, dengki, khianat, ghodhob(pemarah),cintakan dunia, kasihkan pangkat serta kedudukan(termasuk maqam-maqam keruhanian), disanjung oleh manusia, mendapat keberkatan dalam amalan(seperti kebolehan untuk mengubat penyakit-penyakit yang ganjil[jadi bomoh], inginkan keramat-keramat yang mencarik adat, dan apa sahaja maksud-maksud sampingan dalam beribadat.
2. Afaal(perbuatan) yang tercela seperti suka merungut-rungut, menyebarkan keaiban manusia yang tidak diharuskan oleh syarak, mengumpat, pemarah, berlagak tawaduk, bermegah dengan amalan yang dikerjakan, bermuka-muka di hadapan manusia, memungkiri janji, bercakap dengan kasar, berbicara dengan suara yang tinggi dan semua kelakuan yang dicela oleh syarak.
3. Melanggari adab-adab sama ada adab-adab dalam melakukan ibadat, adab-adab thoriqat dan adab Ketuhanan. Di dalam Kitab Ad-Durul Nafs ada ditegaskan antara perkara-perkara yang merosakkan adab Salik itu yang mana jika ianya akan membatalkan suluk(tohriq ibadat). Antaranya ialah seperti;
       Kaslun ertinya segan melakukan ibadat sedangkan kuasa ia mengerjakannya'
       Futur ertinya lemah dalam mendirikan ibadat sebab bimbang dengan dunia
       Malal ertinya jemu dan puas melakukan ibadat kerana ianya berulang-ulang pada hal belum lagi hasil yang dikehendakinya.
Adalah sebab yang demikian itu kerana kurang Iman dan Dhoif Yakin dan buta mata hati dan mengikutkan nafsu akan hawanya.(Ad-Durul-Nafs:3) 

Berkata lagi Tok Pulau Manis; 

Maka barangsiapa [yang] berdiri[mengerjakan] pada Ubudiyah dan Muamalah dengan syarat adab, nescaya tiada terhijab segala [yang]Ghaib daripadanya dan hanyasanya hijab segala [yang]Ghaib itu [adalah kerana]wujud segala Aib (maka) sucikan olehmu daripada Aib[pada dirimu], maka terbukalah bagimu [segala]pintu ghaib.
(Dan) bahawasanya [Alam]Malakut Allah Taala itu tiada diizinkan masuk dalamnya melainkan bagi orang yang telah suci daripada segala Afatul Basyariah(Penyakit Kemanusian) dengan berperangai dengan segala perangai Allah Taala dan diperolehnya fanalah barang yang lain daripada Allah Taala.
(Dan) Tahqiq Ubudiyah itu dengan mengikut bagi segala suruh Allah Taala dan Istislam(menyerah diri/tunduk) bagi segala hukum Allah Taala. Maka jikalau engkau sampai kepada demikian itu , maka terbukalah segala[pintu Alam]Ghaib bagimnu.
Kata Sheikh(Ibni Athoillah) dalam [kitabnya yang bernama] Asul Ma'qud barangsiapa tiada mengenal ia akan hakikat dirinya dan segala aibnya nescaya tiadalah sampai ia kepada makrifat dan adalah ia di belakang hijab[dinding]. 

 Keterangan suluk. 

Pengarang telah cuba menghuraikan bagaimana pintu-pintu Alam Ghaib dapat terbuka dengan sendirinya sekiranya seorang hamba mengerjakan perkara-perkara seperti berikut;
1. menunaikan hak Ubudiyah dan Muamalah mengikut adab-adabnya. Antara adab-adab tersebut ialah seperti;
o      ADAB AL-SYARIAT
o      ADAB-AL-HIKMAT
o      ADAB-AL-HAQ.
2. menyucikan diri dan jiwa daripada kurungan keperluan basyariah seperti berlazat-lazat dan berlebih-lebih dalam makan, minum, tidur, berpakaian, bersenggama dan sebagainya yang melemahkan/menghalang ibadat kepada Allah Taala.
3. bersifat dengan sifat-sifat yang terpuji mengikut kelakuan para Nabi dan Rasul, Aulia Allah dan para Ahli Sufi yang sentiasa tenggelam dalam lautan musyahadah dan fana dengan Allah Taala.
4. mengenal sifat-sifat kecelaan dan keaiban diri yang tersembunyi seperti syirik khofi dengan memperdalami ilmu yang berkaitan dengan hal-ahwal perjalanan Sufi. 

Berkata lagi Tok Pulau Manis; 

Dan hendaklah diperbuat oleh segala orang yang Salik itu "Birrahu"(kebajikan/ibadat} sunyi[yang bersih] daripada segala sifat yang mazmumah [dengan] didahulukan daripada bersifat dengan segala [sifat] mahmudah kerana bahawasnya mengetahui pada segala [yang] Aib itu iaitu Haq- Al-Adab serta Tuhanmu dan zhohirlah[wujud/ada] atas segala [yang] Aib itu iaitu mengkuatkan bagi syahwatmu dan hawamu. 

Dan lagi pula bahawasanya menuntut segala [yang] Ghaib dengan tiada menghilangkan segala Aib itu mendatangkan bagi sesuatu daripada bukan jalannya kerana tiada hijab segala [yang] Ghaib itu melainkan wujud segala [yang] aib. Maka bersuci daripada segala yang aib itu [akan] dibukakan bagimu pintu [yang] Ghaib.
 Keterangan suluk.
Pada keterangan di atas, kita akan dapat satu peringatan yang besar dan sangat penting yang cuba disampaikan oleh Aulia Allah ini. Ini adalah kerana semenjak dulu hingga kini, terdapat banyak golongan manusia yang sesat yang menggunakan jalan ini untuk mencapai sesuatu keajaiban dan keistimewaan. Golongan ini menggelarkan diri mereka ahli tasauf tulen yang banyak mempunyai keistimewaan-keistimewaan tertentu serta mendakwa mereka dapat berhubungan dengan makhluq-makhluq lain di alam Ghaib. 

Pengakuan mereka ini adalah berdasarkan dakwaan semata-mata kerana jika diperhatikan syariat dan jiwa mereka masih lagi dibaluti oleh berbagai-bagai kecelaan dan keaiban. Mereka mengamalkan beberapa ayat-ayat atau amalan-amalan yang tertentu untuk mendapatkan sesuatu keistimewaan. Dengan limpah kurniaNya, Allah akan berikan kepada mereka keinginan mereka itu. Mereka gunakan keistimewaan itu untuk menipu atau mempengaruhi orang lain supaya menjadi pengikutnya. Mereka boleh mengubati beberapa penyakit yang ganjil yang tidak boleh diubati dengan perubatan moden yang ada. Sebenarnya mereka telah mengikuti jalan yang salah dan akan menyesatkan pula orang yang mengikutinya. Banyak sebenarnya kisah-kisah manusia yang telah disesatkan lantaran kejahilan mereka dengan liku-liku alam ghaib. Mereka tidak sedar bahawa mereka telah ditipu oleh iblis laknatullah. Sebagai contohnya ikutilah bagaimana  seorang daripada murid Sheikh Junaid Al-Bagdadi RA. hampir-hampir menjadi mangsa penipuan dan penyesatan iblis.
Dari itulah, kita harus memahami dengan sebenar-benarnya tiada jalan yang mudah untuk dibukakan pintu Alam Ghaib kecuali dengan mensucikan diri sebersih-bersihnya daripada sebarang keaiban diri, keaiban syariat, keaiban makrifat dengan melaksanakan amal ibadat mengikut kaifiat dan adab-adab yang telah digariskan oleh Ilmu Fekah, Ilmu Thoriqat dan Ilmu Hakikat. 

Berkata lagi Tok Pulau Manis; 

Dan kerana yang demikian itulah, kata setengah mereka itu(kaum sufiah) jadikanlah olehmu akan menuntut Istiqamah dan jangan engkau minta jadikan menuntut keramat kerana itu dituntut oleh nafsu dan Istiqamah itu dituntut oleh Tuhan;
dan bahawa engkau menjadikan pada Haq Tuhanmu itu terlebih baik daripada engkau menjadikan pada bahagian nafsumu.
{Dan Riwayat} daripada Wahab bin Munabbih RA.
Seorang lelaki daripada Bani Israil telah berpuasa ia selama 70 tahun lamanya. Dalam tiap-tiap tahun, lelaki berkenaan hanya akan berbuka pada dua hari raya dan tiga hari tasyrik.
Maka memohon ia kepada Allah Taala supaya diperlihatkannya bagaimana derhaka dan tipu dayanya terhadap manusia. Maka setelah lama sekali berpanjangan masa hajat dan niatnya untuk melihat syaitan itu, namun tiada diperkenankan pintanya.
Maka kata lelaki tersebut;
"Maka jikalau aku minta nyatakan atas kesalahanku dan dosaku antaraku dan Tuhanku, nescaya adalah terlebih baik daripada pekerjaannya(hajatku) untuk melihat syaitan".
Mendengar kata-kata itu, Allah Taala telah memerintah seorang malaikat kepada lelaki tersebut. Maka berkata malaikat kepadanya;
"Bahawasanya Allah 'Azzawajalla telah menyuruh ia akan daku kepadamu supaya menyampaikan firmanNya kepadamu yang bermaksud;
"Kata-kata mu itu(untuk melihat kesalahan dan dosa) itu terlebih baik kepada Allah daripada yang telah lalu daripada segala ibadatmu. Maka telah dibukakan Allah Taala akan penglihatanmu untuk melihat syaitan. Maka lihatlah olehmu akan dia(syaitan)".
Maka dilihat oleh lelaki tersebut berduyun-duyun beberapa tentera malaun (syaitan) dalam bumi ini dan tiadalah seseorang daripada manusia melainkan syaitan berada di sekelilingnya seperti keadaannya beberapa lalat (yang menggerumumi bangkai). Maka kata lelaki tersebut;
"Hai Tuhanku....bagaimana bisa selamat orang daripada keadaan ini?". Maka firman Allah Taala
"Warak".
Maka apabila telah masuk engkau kepada Hadirat Allah Taala dengan Shodiq dan ikhlas[dalam amal dan ibadat], maka sampailah engkau kepada kesudahan-kesudahan yakin dan terbukalah bagimu daripada Wujud Al-Haq, maka engkau pandanglah akan dia(Allah) dengan Nur Iman; tiada dengan mata. 

Ulasan Suluk. 

Pembersihan diri dan jiwa yang sebenarnya ialah dengan Shodiq dan mengikhlaskan keseluruhan amal dan hal-ahwal kita semata-mata kerana Allah. Benarlah kata-kata Ahli Sufiah bahawa takrif tasauf itu ialah meninggalkan dakwa dan memfanakan diri dengan Allah. Selagi kita merasai kita yang melakukan sesuatu dan selagi kita melakukan sesuatu itu untuk mencapai maksud bagi kepentingan diri kita waima berhajatkan kepada balasan pahala, kemulian, maqam-maqam atau syurga; maka sebenarnya diri kita masih lagi bergelumbang dengan aib-aib yang menegahkan terbukanya pintu Alam Ghaib. Bila pintu Alam Ghaib atau Alam Malakut ini masih belum terbuka, maka perhatikan diri anda, selama-lamanya kita akan terkeliru dengan kehidupan ini.
Mulakan perjalanan anda ke Alam ini dengan menguasai Ilmu Syariat(fekah)terlebih dahulu agar anda bisa tahu bagaimana rupa keaiban pada zhohir anda. Perdalamilah Syariat ini dengan mengikut Thoriq Aulia Allah, agar anda mampu untuk berakhlak dengan peribadi yang mulia. Selebihnya ilmu-ilmu yang lain seperti makrifat dan hakikat akan terbuka dengan sendirinya untuk anda. Perhatikan kata-kata hikmah ini semoga anda mendapat petunjukNya;
"Hakikat tidak akan muncul sewajarnya jika syariat dan thorikat belum betul lagi kedudukannya. Huruf-huruf tidak akan tertulis dengan betul jika pena tidak betul keadaannya."

Tiada ulasan: